12.4.13

25# PANTUN.

Assalamualaikum w.b.t. Hai semua. :)


Pantun adalah sumber khazanah dalam kehidupan masyarakat Melayu baik dari segi kesenian, pemikiran mahupun nilai-nilai akhlak dan sosialnya. Akal budi orang Melayu dapat dilihat dalam pantun yang diungkapkan secara spontan. Hal ini termasuklah kebijaksanaan dan ketangkasannya menjana makna yang mendalam dan mengukir gerak hati serta lukisan rasa yang indah bersama penampilan unsur-unsur alam. Oleh yang demikian, antara kepentingan pantun Melayu yang dapat dilihat ialah pantun berupaya dijadikan sebagai satu medium untuk mendidik, berhibur dan menegur sikap seseorang. Hal seperti inilah maka timbulnya unsur sindiran dalam berpantun. Berpantun juga dapat membantu meningkatkan nilai estetika apabila di dalamnya mengandungi kepelbagaian maksud yang tersirat yang dilukiskan dalam bentuk bahasa kiasan.

Pantun merupakan bentuk puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap (dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan yang selainnya mengandungi maksudnya). Pantun juga merupakan salah satu cabang kesusasteraan Melayu yang paling tua. Mengikut sejarah, pantun wujud sejak zaman masyarakat Melayu tidak tahu menulis dan membaca lagi. Berbanding dengan syair, seloka dan gurindam, pantun merupakan puisi yang lahir daripada masyarakat Melayu tradisi yang amat tinggi nilainya. Pantun Melayu juga dikatakan menjadi simbol artistik dalam masyarakat dan ia adalah lambang kebijaksanaan berfikir.

            Antara ciri-ciri pantun yang biasanya dapat dikenal pasti adalah wujudnya pembayang dan maksud dalam setiap rangkap. Selain itu, pada umumnya pantun mempunyai dua jenis iaitu pantun berkait dan pantun tidak berkait. Bilangan baris dalam setiap pantun pula dikenali sebagai kerat. Dalam pada itu, lima bentuk utama pantun ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun dua belas kerat. Walau bagaimanapun, pantun yang sering digunakan adalah pantun dua kerat dan empat kerat. Pantun yang terpendek iaitu pantun dua kerat mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama di hujungnya. Antara ciri lain yang dikenal pasti adalah pembayang yang terdapat dalam pantun Melayu mempunyai hubungan yang rapat dengan unsur-unsur alam dan persekitaran yang rapat dengan pengucapnya seperti yang terdapat dalam contoh pantun berikut:

                                    Sebab pulut santan terasa,
                                    Sebab mulut badan binasa.

Oleh itu, pantun dapat bertahan padu hingga ke hari ini adalah disebabkan pantun dicipta oleh masyarakat lama yang bersatu padu, tidak berpecah belah seperti masyarakat moden pada zaman ini. Masyarakat Melayu dahulu sememangnya kaya dengan adat dan budaya yang mencerminkan nilai-nilai keagungan bangsa. Selain itu, melalui pemakaian bahasa yang berangkap, bersifat umum dan berkias, pantun Melayu turut menyerlahkan lagi pemikiran serta latar belakang sosiobudaya masyarakat. Kiasan yang ditekankan dalam pantun sekali gus meletakkan Melayu sebagai masyarakat yang terkenal dengan santun dan pekertinya.

11.4.13

24# PROFESION KEGURUAN

Assalamualaikum w.b.t. Hai semua. :)

Guru merupakan agen perubahan yang membawa kemajuan kepada masyarakat. Tugas seorang guru bukan sahaja berperanan dalam menyampaikan ilmu tetapi juga tidak terlepas daripada tugas mendidik anak bangsa. Tidak dinafikan bahawa profesion keguruan pada masa ini merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang amat mencabar. Justeru itu, tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini dalam usaha mencapai matlamat pendidikan. Hal ini demikian kerana tugas yang dilakukan oleh guru adalah bersifat intelektual, memerlukan amalan pertimbangan yang konsisten, tidak boleh disamarata atau dirutinkan, dan menuntut persediaan yang berpanjangan melalui pendidikan.

            Walau bagaimanapun, dewasa ini terdapat pelbagai tanggapan dan dakwaan berhubung dengan profesion keguruan. Sesetengahnya menganggap bahawa kerja, beban dan tugas guru pada masa ini tidak mewujudkan profesion keguruan yang menarik. Malah tidak dinafikan juga ada yang melihat institusi persekolahan sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan pelbagai beban tugas dan ada kalanya tugas ini bukan satu yang terancang tetapi muncul dari situasi yang tidak diduga.. Jika keadaan sedemikian dibiarkan berterusan pasti suasana pengajaran dan pembelajaran di sekolah pada masa ini akan menuju ke arah satu keadaan yang tidak terurus dan akan menghadapi kegagalan untuk mencapai matlamat yang diidamkan. 
              Lebih memburukkan lagi keadaan ialah apabila wujud segolongan manusia yang tidak berpuas hati dengan pekerjaan pendidik, membuat pebagai tohmahan dan kecaman kepada para  guru. Segala tingkah para guru dihujahkan sehingga perkara yang buruk-buruk sahaja tersenarai di alam maya sama ada di blog, facebook mahupun twitter. Sudahlah bahasa yang digunakan tidak seperti pelajar yang pernah belajar dan menduduki kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malahan telah pun melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama. ALLAHURABBI. 
           Oleh sebab itu, bagi mengelakkan persepsi seperti ini menjejaskan reputasi profesion keguruan yang sentiasa dipandang tinggi dan mulia, para guru perlulah sentiasa bermuhasabah diri dan berusaha melengkapkan diri dengan kekurangan dan kelemahan yang ada. Hal ini demikian kerana bagi menjadi seorang guru yang profesional, individu guru perlu mengetahui cara menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dalam bidangnya, sentiasa terbuka untuk mempelajari cara bagi meningkatkan mutu amalannya serta sentiasa berusaha memperbaiki dirinya.