Guru merupakan agen perubahan yang membawa kemajuan kepada masyarakat. Tugas seorang guru bukan sahaja berperanan dalam menyampaikan ilmu tetapi juga tidak terlepas daripada tugas mendidik anak bangsa. Tidak dinafikan bahawa profesion keguruan pada masa ini merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang amat mencabar. Justeru itu, tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini dalam usaha mencapai matlamat pendidikan. Hal ini demikian kerana tugas yang dilakukan oleh guru adalah bersifat intelektual, memerlukan amalan pertimbangan yang konsisten, tidak boleh disamarata atau dirutinkan, dan menuntut persediaan yang berpanjangan melalui pendidikan.
Walau bagaimanapun, dewasa ini terdapat
pelbagai tanggapan dan dakwaan berhubung dengan profesion keguruan. Sesetengahnya
menganggap bahawa kerja, beban dan tugas guru pada masa ini tidak mewujudkan
profesion keguruan yang menarik. Malah tidak dinafikan juga ada yang melihat institusi
persekolahan sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan pelbagai beban
tugas dan ada kalanya tugas ini bukan satu yang terancang tetapi muncul dari
situasi yang tidak diduga.. Jika keadaan sedemikian dibiarkan berterusan pasti
suasana pengajaran dan pembelajaran di sekolah pada masa ini akan menuju ke
arah satu keadaan yang tidak terurus dan akan menghadapi kegagalan untuk
mencapai matlamat yang diidamkan.
Lebih memburukkan lagi keadaan ialah apabila wujud segolongan manusia yang tidak berpuas hati dengan pekerjaan pendidik, membuat pebagai tohmahan dan kecaman kepada para guru. Segala tingkah para guru dihujahkan sehingga perkara yang buruk-buruk sahaja tersenarai di alam maya sama ada di blog, facebook mahupun twitter. Sudahlah bahasa yang digunakan tidak seperti pelajar yang pernah belajar dan menduduki kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malahan telah pun melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama. ALLAHURABBI.
Oleh
sebab itu, bagi mengelakkan persepsi seperti ini menjejaskan reputasi profesion
keguruan yang sentiasa dipandang tinggi dan mulia, para guru perlulah sentiasa
bermuhasabah diri dan berusaha melengkapkan diri dengan kekurangan dan
kelemahan yang ada. Hal ini demikian kerana bagi menjadi seorang guru yang
profesional, individu guru perlu mengetahui cara menghasilkan kerja yang
bermutu tinggi dalam bidangnya, sentiasa terbuka untuk mempelajari cara bagi
meningkatkan mutu amalannya serta sentiasa berusaha memperbaiki dirinya.