4.4.13

19# PERSEPSI BAHASA BAKU.

Assalamualaikum w.b.t. Hai semua. :)
            Secara umumnya, masyarakat tidak begitu memahami apa yang dimaksudkan dengan bahasa Melayu baku yang hangat diperkatakan tidak berapa lama dahulu. Sebenarnya bahasa Melayu baku dapat ditakrifkan sebagai bahasa yang bentuknya telah diseragamkan, diterima oleh seluruh penutur sesuatu bahasa itu sebagai model, rujukan atau ukuran. Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa bahasa Melayu baku bukanlah bahasa yang wajib digunakan dalam semua situasi. Contohnya, dalam interaksi kita dengan anggota keluarga, pergaulan dengan rakan-rakan atau pertemuan dengan penjual ikan di pasar, bahasa Melayu baku tidak perlu digunakan. Kita hanya sekadar bercakap dalam bahasa pasar menurut dialek masing-masing. Oleh itu, tidak timbul soal bahasa Melayu baku mesti digunakan sepanjang masa dalam semua bentuk komunikasi kita. Begitulah juga halnya bukan semua orang perlu berbahasa baku seperti petani, nelayan, peladang ataupun pekerja am. Sebaliknya, kakitangan kerajaan yang melaksanakan tugas-tugas rasmi, guru, pensyarah, pembaca berita dan penemu duga harus berusaha menggunakan bahasa Melayu baku dan menguasainya dengan sebaik mungkin.

            Dari segi definisi linguistiknya, bahasa baku atau bahasa standard ialah satu ragam bahasa yang digunakan dalam situasi formal dan untuk keperluan rasmi. Umpamanya dalam bentuk lisan, keperluan rasmi itu lazimnya berlaku dalam pengajaran guru di bilik darjah, ucapan oleh seseorang menteri sebelum merasmikan sesuatu upacara, mesyuarat dan taklimat dalam kalangan pegawai kerajaan, pertandingan syarahan dan lain-lain yang sebagainya. Dalam pendeklamasian sajak dan nyanyian, sebutan baku digunakan semata-mata untuk menyerlahkan nilai estiteka. Seterusnya, dalam bahasa tulisan, bahasa Malaysia baku wajar digunakan dalam segala urusan surat-menyurat dengan jabatan kerajaan, sekolah, dan firma; dalam arahan rasmi, pekeliling, laporan, tender, iklan pekerjaan, minit mesyuarat dan seumpamanya.

            Malangnya, dalam keghairahan kita memperkatakan tentang bahasa Melayu baku, ramai orang yang tersalah erti dan menyamakan bahasa Melayu baku sebagai sebutan bahasa Melayu baku. Kekeliruan ini membayangkan seolah-olah bahasa Melayu baku itu suatu perkara baru, padahal bahasa itu telah lama digunakan di sekolah, jabatan kerajaan, stesen penyiaran dan media massa.Walau bagaimanapun, sebutan baku hanya merupakan salah satu aspek bahasa Melayu baku. Sebenarnya, yang dimaksudkan dengan bahasa baku adalah lebih daripada itu. Bahasa yang digunakan oleh seseorang itu cuma dianggap baku apabila dia dapat menguasai kemahiran-kemahiran dalam sistem bunyi, ejaan, peristilahan, perkamusan dan tatabahasa. Oleh itu, sekiranya pengucapan kurang jitu, dia masih dianggap belum menguasai bahasa Melayu baku. Demikian juga cara pentakrifan baku untuk bahasa-bahasa lain.

            Dalam usaha untuk memenuhi keperluan dan kehendak inilah maka bahasa Melayu baku mampu dan wajar digunakan untuk menanganinya. Bahasa perhubungan biasa yang disebut sebagai ‘bahasa kolokial’ tidak akan berupaya menjadi wahana untuk memperkatakan bidang ilmiah dan pentadbiran negara. Dalam konteks ini juga, kita memerlukan bahasa Melayu baku sebagai bahasa formal dan bahasa pembina bangsa dan negara. Kesimpulannya, bahasa Melayu baku dapat memainkan peranan penting dalam memantapkan penggunaan bahasa. Hakikatnya, bahasa Melayu baku tidak menghalang perlanjutan dialek-dialek dalam bahasa Melayu kerana bahasa ini hanya diwajibkan dalam situasi formal dan tujuan rasmi.