::buat saya, awak dan kita
berhati-hatilah kala berbahasa.
bahasa ikut rasa, binasa kita.
bahasa ikut hati, berjauhlah saudara.
bahasa ikut sombong diri, tiada yang akan bersama.
jangan pernah merasa diri sempurna.
tiada siapa betul segaa.
dunia tempat menimba ilmu walau dari siapa.
bukan ijazah pengukur pintar bijaksana.
walau kaya miskin, biar pandai berkata.
biar hemah berbudi bahasa.
belajarlah bersyukur walau di mana.
setinggi mana ilmu di dada, adab mesti dijaga.
yang tua tetap dihormati,
yang sebaya jangan dikeji,
yang muda apatah lagi.
kita berpijak di tanah yang sama.
setiap saat peluang terbuka.
maka, kongsikan gembira,
sebarkan cinta,
hasad dengki jangan dicipta.
entah esok lusa masa kita.
timbanglah dosa pahala.
semoga esok masih ada.
beringatlah selagi bernyawa . . .
KOMENTAR
Puisi ini terilham ketika saya dan teman-teman sepraktikum gigih menahan walang dihati disebabkan oleh sikap seseorang yang tidak wajar untuk diteladani dan dipuji. Biarlah kenangan pahit itu tersisip rapi dan disimpul mati. Bukan tidak mahu berkongsi ceritera yang bisa diibaratkan sebagai sebuah mimpi ngeri tetapi sekadar tidak mahu sang hati terguris lagi. Cuma yang ingin diperjelaskan di sini ialah sebagai manusia yang punya hati budi, janganlah kita berasa megah dengan harta kekayaan yang dipinjamkan untuk sementara. Itu semua adalah ujian nikmat yang didatangkan khas dari langit Illahi. Jadi, jangan takut untuk menabur budi kerana kita semua tidak akan pernah rugi. Juga jangan pernah mencaci maki kerana sesungguhnya kesopanan dan kesantunan itu adalah sunnah nabi. (:
"Kesusahan tidak semuanya seksaan dan yang paling pahit itu bukan semuanya racun. Namun, kadang kala lebih berguna daripada kesenangan yang terus-menerus."