Assalamualaikum W.B.T. Hai semua. :)
Sejak akhir-akhir ini, budaya membaca semakin pudar dalam masyarakat Malaysia apatah lagi ditambah pula dengan kehadiran aplikasi ‘twitter’, ‘facebook’, dan yang seangkatan dengannya membuatkan masyarakat kita terus terleka untuk membaca. Membaca sering didefinisikan sebagai memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Di samping itu, membaca juga meliputi pengucapan apa-apa yang tertulis atau tercetak pada buku, papan tanda, dan lain-lain lagi secara lisan, sama ada dengan kuat atau sebaliknya. Bagi golongan pelajar, membaca hanya menjadi rutin bagi tujuan mentelaah, manakala bagi golongan yang sudah melepasi dunia pelajar, mereka hanya membaca bahan bacaan ringan, bukan bahan ilmiah yang menambahkan ilmu. Justeru, membaca wajar dijadikan amalan dan perlu dibentuk sejak kecil kerana “kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sesuai dengan peribahasa tersebut, maka amalan membaca seharusnya bermula dari rumah. Tambahan pula, dengan membaca ia sekaligus dapat menanamkan semangat cinta akan bahasa kepada generasi muda.
KOMENTAR
Andai merasakan diri sudah punya kesedaran tentang pentingnya ilmu pengetahuan dan pentingnya usaha untuk memperjuangkan bahasa, marilah berusaha untuk menanamkan budaya membaca dalam diri semua. Perkara yang boleh dilakukan sebagai langkah permulaan antaranya ialah mencari bahan bacaan yang paling diminati sama ada novel, majalah seperti Fokus, Siswa, Dara.Com atau buku-buku cerita dan menjadikan kunjungan ke kedai buku sebagai rutin bagi aktiviti bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Banyak lagi yang boleh dilakukan sebenarnya tetapi yang paling penting hendaklah sentiasa beristiqamah dalam melakukan perubahan ya. Mari berubah dengan senyuman !