22.3.13

15# 'TANAM ANGGUR'.


Assalamualaikum w.b.t. Hai semua. :)

Isu pengangguran telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama golongan siswazah. Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja melibatkan golongan siswazah tetapi golongan lain juga. Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke negara ini. Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama golongan siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap sebagai satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan. Perkara yang paling membimbangkan masyarakat ialah apabila golongan penganggur ini terlibat dengan pelbagai salah laku dan gejala-gejala negatif seperti merompak, meragut, mencuri, merosakkan harta benda awam dan sebagainya akibat daripada tekanan tidak memiliki pekerjaan dan ketiadaan sumber untuk memperoleh wang pendapatan. 

Berikut merupakan cadangan saya kepada para penganggur :-
1. Seandainya terlalu sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang dimahukan, cubalah alternatif lain untuk mendapatkan sumber pendapatan. Terkini, dengan menggunakan blog, individu boleh memperoleh wang untuk menyara diri dan membeli keperluan. Kaedah lain untuk mendapatkan wang termasuklah menghasilkan karya-karya kreatif seperti novel atau cerpen, menggubah lagu atau puisi, melukis dan mengambil gambar.
2. Sekiranya berminat untuk berniaga, kalian boleh mendapatkan pinjaman daripada skim-skim yang telah diperkenalkan oleh kerajaan. Untuk lebih mudah dan murah, boleh sahaja menjalankan perniagaan secara dalam talian atau ‘online’.
3. Jangan berputus asa untuk mencari pekerjaaan dan membuat permohonan di mana-mana syarikat atau gedung yang menawarkan kekosongan jawatan seperti di pusat beli belah, restoran atau kedai makan mahupun di syarikat swasta.
4. Mintalah pertolongan daripada kenalan atau sesiapa sahaja yang mempunyai jawatan tertinggi atau memiliki pangkat yang besar. Walaupun cara ini tidak digalakkan tetapi boleh juga membantu anda untuk mendapatkan jawatan. Sekiranya anda berjaya mendapatkan pekerjaan tersebut, buktikanlah bahawa anda mampu dan layak untuk menyandang jawatan yang telah diberikan. Bukan semata-mata atas pertolongan kawan. 

** Perkara yang paling penting selepas berusaha dengan bersungguh-sungguh ialah dengan bertawakal dan menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa.   Insya-allah, berkat doa dan niat murni kalian untuk memiliki pekerjaan dan rezeki yang halal akan diperkenankan oleh ALLAH S.W.T.  Salam maju jaya rakyat Malaysia ! 

Keratan akhbar Kosmo 16 Disember 2012