Apabila perut berasa lapar, perkara yang terbayang di minda kita hanyalah
makanan, makanan dan makanan. Itu sahaja kan? :) Jadi,
cara yang paling wajar, cepat, mudah, tepat dan selamat untuk mengelakkan diri
daripada didatangi oleh penyakit gastrik adalah dengan membeli makanan yang
dijual di tepi jalan oleh mak cik-mak cik yang ramah-tamah dan pemurah dengan
senyuman. Semasa menunggu nasi lemak dibungkuskan oleh mak cik tersebut,
tiba-tiba mata terarah pada helaian akhbar yang memaparkan ruangan masalah yang
dihadapi oleh seorang pembaca yang menghadapi masalah pertuturan akibat pelat.
Beliau merasakan hidupnya sangat mencabar, tertekan dan sering mempersoalkan
ciptaan Allah terhadap dirinya. Beliau merasa sangat rendah diri kerana ramai
rakan-rakannya yang mengata dan mengajuk sebutannya yang tidak sempurna. Walau
bagaimanapun, apa yang ingin saya perkatakan di sini bukanlah masalah pelat
yang dihadapi oleh saudari tersebut tetapi masalah pelat yang dibuat-buat oleh
anak muda masa ini. Lihat sahajalah seperti gambar di bawah. Sumpah, MELUAT!
KOMENTAR
Pening memikirkan masalah yang
melanda bahasa muda-mudi pada masa ini. Seolah-olah mereka gemar
membelit-belitkan lidah sendiri. Juga sengaja menyusahkan diri mengeja dengan
perkataan yang lebih sukar daripada bahasa Sanskrit. Wahai anak muda, sedarilah
bahawa bahasa itu melambangkan identiti sebuah bangsa. Seandainya semuanya
hendak dibuang ke laut, dihumban ke gaung, ditolak ke langit, apa lagi yang
akan tinggal untuk kita? Sekalian anak-anak muda yang masih lagi bersekolah,
beringatlah. Andai sudah terbiasa mengeja secara ‘mengada-ngada’, khuatir pada
kertas peperiksaan sebenar, kalian akan mengulangi perkara yang sama. Akhirnya,
cacatlah transkripsi SPM kalian semua. Beringatlah sebelum terkena. Bahasa Jiwa
Bangsa. (: