11.3.13

6# BAHASA ROJAK BUAH.

Assalamualaikum w.b.t. Hai semua. :)

Tatkala sedang duduk di serambi menikmati angin sepoi-sepoi bahasa di petang hari, enak juga rasanya andai dapat menikmati semangkuk ABC atau ais batu campur. Apatah lagi ditambah pula dengan sepiring rojak buah. Ahhhhh, pasti nyaman rasanya. Walau bagaimanapun, apabila dikaitkan rojak dengan bahasa, alahai hibanya rasa. Rojak buah itu kalau dinikmati pasti sehingga menjilat jari tetapi kalau bahasa rojak didengari alahai bencinya rasa hati. Porak-peranda tersasar semua. Mana yang melayu di'inggeris-inggeris'kan, mana yang inggeris dilebih-lebihkan pula huruf 'R' -nya seperti 'coverrrrr', 'overrr' dan sebagainya. Ramai yang sudah mengetahui bahawa bahasa rojak termasuk juga dalam aspek pencemaran bahasa. Pencemaran bahasa meliputi aspek kesalahan bahasa, aspek tatabahasa, ejaan, istilah dan juga struktur ayat. Contohnya dapat dilihat seperti imej di bawah.

Bahasa Rojak
KOMENTAR
Wallahi, inilah yang dikatakan kerana pulut santan binasa, kerana mulut bahasa binasa. Isu ini perlu diselesaikan dengan kadar segera untuk mengelakkan pencemaran bahasa terus berleluasa. Walaupun telah banyak usaha dilakukan bagi mengatasi isu pencemaran bahasa, namun isu ini masih belum dapat diselesaikan jua. Apa yang paling membimbangkan pula ialah terkini, anak-anak muda dan pelajar-pelajar di sekolah menggunakan bahasa rojak ini semasa membuat karangan bahasa Melayu ketika peperiksaan dijalankan.  Apa sudah jadi? Sesungguhnya generasi muda kini memainkan peranan yang sangat besar dalam menjadikan Bahasa Melayu gah di persada antarabangsa. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama dan berganding bahu dalam mendidik anak-anak muda bagi memelihara bahasa ibunda kita dalam meniti zaman yang serba moden dan mencabar ini.